Transformasi Hidup: KFSHRC Berjaya Rawat Penyakit Jarang Selepas 22 Tahun Penjagaan Rapi
RIYADH, Arab Saudi, Aug. 25, 2025 (GLOBE NEWSWIRE) -- Dalam satu kisah luar biasa mengenai ikatan seumur hidup antara pesakit dan institusi penjagaan kesihatan, King Faisal Specialist Hospital & Research Centre (KFSHRC) di Riyadh telah memberikan sokongan berterusan kepada seorang pesakit sejak bayi, merawatnya selama 22 tahun bagi satu penyakit genetik pembekuan darah yang jarang berlaku. Penjagaan jangka panjang ini akhirnya membawa kepada pemindahan hati—yang pertama seumpamanya di dunia bagi keadaan tersebut.
Ketika tanda-tanda awal penyakit mula muncul dalam beberapa bulan pertama kelahirannya, pasukan perubatan KFSHRC bertindak pantas untuk menstabilkan keadaannya. Beliau kemudiannya disahkan menghidap kekurangan plasminogen kongenital—sejenis protein penting dalam proses pelarutan bekuan darah. Kekurangan ini menyebabkan pembentukan deposit berserat yang mengancam fungsi tisu dan organ tubuh secara serius.
Kerumitan kes kanak-kanak perempuan ini menimbulkan cabaran dari segi perubatan dan kualiti hidup, sekali gus memerlukan sistem penjagaan yang menyeluruh serta berbilang disiplin. Sokongan yang diberikan bukan sahaja tertumpu kepada rawatan klinikal, malah merangkumi semua aspek penjagaan yang menyokong kelangsungan hidup. Pasukan kejururawatan, pemakanan dan teknologi maklumat turut berganding bahu dengan pakar hematologi dan pemindahan organ bagi memastikan kesejahteraan pesakit muda ini terpelihara sepenuhnya.
Mengimbas kembali detik-detik awal, bapa kepada pesakit berkata: “Anak perempuan saya mula menderita sejak dilahirkan. Dia menangis tanpa henti dan tidak dapat menyusu. Kami hidup dalam kebimbangan berterusan tanpa jawapan yang jelas, sehinggalah Allah membuka pintu harapan. Hari ini, kami bersyukur atas keizinan Allah terlebih dahulu dan seterusnya atas keupayaan luar biasa sistem kesihatan yang disediakan oleh Kerajaan Penjaga Dua Masjid Suci serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Putera Mahkota, semoga Allah memelihara mereka. Kami menyaksikan pemulihan anak kami daripada penyakit jarang ini selepas dua dekad perjuangan.”
Sepanjang tempoh rawatan, pesakit bergantung kepada pemberian plasminogen secara intravena secara berkala, disertai dengan titisan mata bagi mengurangkan kesan penyakit terhadap penglihatannya. Rawatan tahunan yang menelan belanja melebihi 6 juta Riyal Saudi telah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Arab Saudi. Komitmen ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam menjaga kesihatan manusia serta pelaburannya terhadap kualiti hidup, walaupun dalam kes perubatan yang paling kompleks.
Dr. Hazzaa Al-Zahrani, Pengarah Bahagian Hematologi Dewasa dan Pemindahan Sel Stem di KFSHRC Riyadh serta doktor penyelia kes tersebut, menjelaskan bahawa pengurusan kes ini memerlukan pendekatan yang teliti dan jangka panjang bagi mencegah komplikasi serta memastikan kestabilan keadaan pesakit. Setelah melalui proses pertimbangan yang teliti, pemindahan hati dikenal pasti sebagai pilihan rawatan terbaik bagi menangani kes yang sangat jarang berlaku. Kejayaan prosedur ini menjadi titik perubahan dalam perjalanan perubatan pesakit dan simbol harapan bagi mereka yang menghadapi keadaan serupa di seluruh dunia.
Pendekatan ini berteraskan visi King Faisal Specialist Hospital & Research Centre, yang menempatkan pesakit sebagai pusat kepada setiap amalan klinikal. Institusi ini komited untuk menyediakan penjagaan bersepadu yang menggabungkan kepakaran saintifik dengan nilai kemanusiaan, selaras dengan misinya untuk berkhidmat kepada masyarakat pada tahap tertinggi.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari www.kfshrc.edu.sa atau hubungi pasukan media kami di mediacoverage@kfshrc.edu.sa
Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/850971e1-ae0f-4702-9148-d6a28a85bf3e

Legal Disclaimer:
EIN Presswire provides this news content "as is" without warranty of any kind. We do not accept any responsibility or liability for the accuracy, content, images, videos, licenses, completeness, legality, or reliability of the information contained in this article. If you have any complaints or copyright issues related to this article, kindly contact the author above.
